Himpunan Bebas Unsur Perkauman, Sensitif – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR 4 Dis. – Himpunan besar-besaran bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan Sabtu ini dijamin bebas daripada unsur perkauman dan sensitif.

Jaminan tersebut ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa himpunan yang dilaksanakan menerusi kerjasama antara Pas dan UMNO itu bertujuan menzahirkan kesyukuran atas pembatalan ratifikasi ICERD.

“Saya mewakili kawan-kawan dengan UMNO dan Pas akan tetap pergi dan ini mesti dipisahkan daripada isu-isu perkauman.

“Pertemuan yang kita lakukan dalam bentuk himpunan itu untuk menyatakan penghargaan, kesyukuran dan terima kasih di atas keputusan Kabinet menerusi kenyataan media menunjukkan bahawa kerajaan menolak ICERD untuk diratifikasikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi permit untuk mengadakan himpunan tersebut justeru pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Banyak perkara telah dilakukan terutamanya kita akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.