Segerakan Siasatan Dan Dakwa Di Mahkamah Bukan Dihukum Di Pentas Media

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Pemuda UMNO mendesak agar pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dapat segera bertindak menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Tabung Haji.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata siasatan ini perlu disegerakan kerana berkepentingan awam dan mengelakkan rakyat berterusan berpolemik mengenai reputasi Institusi Islam ini yang banyak jasanya kepada umat Islam di Malaysia dan begitu dihormati seantero dunia.

Saya memandang serius laporan media hari ini yang melaporkan mengenai tindakan pihak pengurusan Tabung Haji yang membuat laporan polis terhadap Bekas Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Yayasan Tabung Haji terdahulu mengenai dakwaan penyelewengan dana Yayasan yang disalurkan untuk kegiatan politik.

“Pemuda UMNO tegas bahawa isu berkaitan integriti dan moral tidak boleh sesekali dikompromikan apatah lagi apabila melibatkan institusi agama yang diharapkan rakyat mengamalkan prinsip tadbir urus pada tahap yang lebih tinggi.”

Katanya, Pemuda UMNO tetap konsisten berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, seseorang itu berhak dilayani sebagai tidak bersalah berasaskan prinsip Islam (al-aslu bara’atu zimmah) dan prinsip perundangan (presumption of innocence).

“Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah kelak dan bukannya dihukum di pentas media,” katanya kenyataan media.

Jumaat lalu, Lembaga Tabung Haji telah membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta yang didakwa digunakan berkaitan politik selain penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.