MCA Keluar BN… Pengerusi Sahkan Tidak Ada Keputusan Rasmi Dimaklumkan

 

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa tidak ada sebarang keputusan rasmi yang disampaikan oleh MCA untuk keluar dari kompenan terbabit kepada Ibu Pejabat BN sehingga kini.

“Tidak ada sebarang keputusan yang telah disampaikan secara rasmi kepada kami mengenai hasrat mereka bagi keluar dari BN,” katanya.

Maklum beliau, sehingga kini BN masih mempunyai lima parti teras.

“Kita menghormati sebarang keputusan yang diambil oleh parti-parti politik teras dan kita mengharapkan apa pun keputusan mesti dimaklumkan kepada kami untuk tindakan-tindakan politik yang sepatutnya dilakukan.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pemegang-pemegang jawatan utama dalam BN dan kepimpinan utama dalam MCA. Tentunya kita memberikan kepercayaan kepada mereka sebagai parti yang berteraskan kepada sokongan orang-orang Cina untuk bergerak sebagai sebuah parti politik dan tentunya mereka mempunyai kaedah sendiri untuk menggamit sokongan orang-orang Cina pada parti mereka.

“Kita amat yakin bahawa apa yang dihasratkan adalah bagi memperkukuhkan MCA dan kami yakin beberapa perubahan telah dilakukan oleh pucuk pimpinan MCA yang baru,” katanya.

Jelasnya, jika ini dapat dilakukan oleh mereka maka sokongan dan dokongan dari orang-orang Cina akan kembali namun jika berlaku sebaliknya tentu BN mempunyai beberapa kaedah-kaedah yang lain.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama senator-senator BN di Ibu Pejabat BN, Menara Dato Onn, hari ini.

“Kita tahu bahawa tidak 100 peratus orang Cina mendukung parti yang menjadi kerajaan sekarang ini. Mereka tentu mengharapkan sebuah parti alternatif yang lebih majmuk dan mendapat kerjasama dengan parti-parti BN yang lain. Apatah lagi BN akan berdepan dengan PRK dan kita bersiap siaga, apabila sampai masanya,” katanya.

Beliau turut ditanya berkaitan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

“Itu kerusi MIC dan kita amat menghormati konvensyen yang telah ditentukan kepada rakan-rakan parti-parti kompenan. Dalam hal ini, dari segi adat berpolitik … Ahli Parlimen yang bertanding dan telah menang tentunya akan diberikan peluang semula. Sama ada mahu lakukan rayuan dan sebagainya maka kita serahkan kepada MIC,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.