Mesyuarat Khas Hadapi PRK Cameron Highlands – Wan Rosdy

KUANTAN, 30 Nov – Barisan Nasional (BN) Pahang akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata mesyuarat itu akan diadakan segera, sungguhkan percaya Anggota Parlimen kawasan itu, Datuk C. Sivarraajh akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerusi Cameron Highlands.

“Saya percaya bahawa BN di negeri ini masih kukuh dan dengan itu mampu digerakkan secara berkesan bagi menghadapi PRK tersebut.

“Sungguhpun terkejut dengan keputusan ini tetapi saya dan rakan-rakan dalam BN menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa kemenangan Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Wan Rosdy memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon lain.

Pada PRU14, Sivarraajh memperoleh 10,307 undi mengalahkan Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan dengan 9,710.

Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud pula memperoleh 3,587 manakala calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.