ADUN BN Keluar DUN, Bantah Speaker Berat Sebelah

IPOH 28 Nov. – Semua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dewan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebagai membantah Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham yang berat sebelah.

Tindakan itu diketuai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) namun tiga ADUN Pas kekal di dalam dewan kerana menantikan giliran Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) berbahas.

Saarani berkata, wakil rakyat BN membantah tindakan berat sebelah Koo Ham apabila mengungkit peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 ketika mengendalikan persidangan.

“Saya cuma mengucapkan tahniah kepada beliau kerana beliau merupakan Ahli Parlimen terkaya namun dia respon dengan mengaitkan kononnya BN merampas kuasa pada tahun 2009, kalau tidak mungkin dia lebih kaya lagi.

“Beliau mungkin tidak tahan sebab saya pulangkan paku buah keras kepadanya. Ini kerana sewaktu mereka jadi pembangkang, setiap kali Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membentangkan Belanjawan negeri, dia akan balun tapi sekarang mereka dah jadi kerajaan namun tiada yang istimewanya Belanjawan 2019 berbanding yang BN bentangkan dalam Belanjawan 2018,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Saarani berkata, sebagai Speaker DUN, Koo Ham tidak boleh menunjukkan sikap bias atau berat sebelah dengan cenderung kepada mana-mana pihak sewaktu mengendalikan persidangan.

Menurunya, malah amalan di peringkat Persekutuan, Speaker melepaskan semua jawatan politik untuk memperlihatkan dia bukan sahaja adil tapi kelihatan adil.

“Speaker tak boleh menyampuk, menjawab bagi mana-mana pihak tapi Ngeh semakin menjadi-jadi, dia nak menjawab, bila kita berbahas dia pun nak jawab malah dia nak turut sama membahaskan.

“Jadi kita nak tegur, Speaker kena bersikap berkecuali dan jangan menunjukkan belang, kalau tunjuk belang dia tidak boleh mengendalikan persidangan dengan baik, dia mesti adil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.