Tubuhkan Majlis Ekonomi Negara Tangani Isu Ekonomi – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kerajaan dan pembangkang patut menubuhkan majlis ekonomi negara dan saling bekerjasama untuk menangani isu ekonomi negara dan mencapai objektif bersama – untuk menambah baik ekonomi Malaysia, kata Pengarah Strategik Pemuda UMNO Wan Agyl Wan Hassan.

Beliau berkata majlis itu perlu berperanan memantau dasar digubal oleh kerajaan Pakatan Harapan dan diberikan kapasiti untuk menasihat atau mengkritik secara tertutup.

“Jika kerajaan menggubal dasar-dasar dan pembangkang berterusan “menyerang”, ini tidak sihat dan kadang kala mereka ini akan lakukannya untuk sebab tertentu, mungkin politik, tetapi majlis ini perlu ditubuhkan dengan sasaran untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Jadi, walaupun anggotanya turut termasuk mereka daripada pembangkang, ia perlu secara mutlak tentang bagaimana kita corakkan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar dialog bertajuk “Belanjawan 2019: Kongsi Kemakmuran” pada Isnin.

Wan Agyl berkata oleh kerana ia (majlis yang dicadangkan) berkonsepkan tertutup, anggota majlis boleh mencabar mana-mana idea diberikan anggota lain atau mereka, malah boleh membahaskan idea itu sebelum persetujuan dicapai dan dimuktamadkan sebagai satu dasar.

“Dengan itu kita akan mempunyai dasar-dasar kukuh kerana ia diilhamkan oleh, yang sebenarnya mereka bukannya pembangkang tetapi pakar ekonomi. Tokoh seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang pernah mengendalikan dana pengurusan terbesar negara – Permodalan Nasional Bhd dan Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd,” jelasnya.

Selain itu, Wan Agyl, yang juga pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, mencadangkan penubuhan majlis ekonomi belia yang dianggotai pemimpin muda yang merupakan golongan masa depan negara.

“Masa depan milik kita, jadi apa juga pemimpin kanan telah lakukan atau cadangkan, kita perlu boleh bersuara dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.

“Dengan gabungan ini, saya fikir kita akan mempunyai pelan ekonomi yang baik, itu yang diharapkan,” katanya.

Turut hadir pada dialog itu ialah Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang meminta pembangkang dan rakyat Malaysia memberi masa sekurang-kurangnya setahun kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan proses peralihan dengan lancar.

“Kami tidak melihat keperluan bagi majlis itu ditubuhkan… perdana menteri mungkin mahu menghidupkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negara tetapi, sekiranya perlu, kami akan bertindak (menubuhkan majlis serupa) di peringkat pemuda,” katanya. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.