Waytha Moorthy: Wanita UMNO Pula Lapor Polis

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy terus dibuat pelbagai pihak di seluruh negara.

Kali ini, giliran Pergerakan Wanita UMNO apabila seramai 191 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat laporan polis di seluruh negara terhadap menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial itu kerana didakwa memburukkan imej Malaysia dan membuat kenyataan yang berniat jahat.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, pihaknya tidak boleh berkompromi dengan ucapan Waytha Moorthy dalam sebuah rakaman video yang tular kerana disifatkan berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan dan perasaan tidak suka kepada kerajaan terdahulu yang ditadbir Barisan Nasional (BN).

“Menerusi video berdurasi dua minit 39 saat itu, Waytha Moorthy menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik selain kerajaan BN telah melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain.

“Dengan segala fitnah dan pembohongan ini, Wanita UMNO mahu Waytha Moorthy disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.