UMNO Shah Alam Buat Laporan Polis Kenyataan Waytha Moorthy

SHAH ALAM 22 Nov. – UMNO Bahagian Shah Alam membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy berhubung isu masyarakat India di negara ini yang tular di media sosial kebelakangan ini.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam,Datuk Azhari Shaari berkata, pihaknya membuat laporan polis tersebut kerana kenyataan tersebut jelas menafikan realiti yang berlaku di negara ini sejak negara ini ditubuhkan.

“Hari ini kita membuat laporan polis berhubung kenyataan Waythamoorthy yang mengatakan tiada kebebasan beragama di negara ini. Kenyataan beliau jelas memburukkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN).

“Kami sungguh kecewa kerana kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan perkara sebenar yang berlaku di Malaysia. Kita hidup dalam suasana harmoni dan setiap kaum dibantu mengikut keperluan mereka, “katanya kepada Utusan Malaysia selepas membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Naib Ketua UMNO Shah Alam, Jumaeyah Masdi dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Wan Indra Putra Ahmad.

Azhari berkata, tuduhan Waythamoorthy yang mengatakan ribuan rumah ibadat penganut Hindu dimusnahkan bukan sahaja tidak benar malahan boleh mengundang suasana tidak harmoni di negara ini.

Katanya lagi, beliau dan ahli-ahli UMNO Bahagian Shah Alam berharap laporan tersebut disiasat dengan teliti dari segenap sudut perundangan.

“Walaupun beliau mengatakan video tersebut sudah 10 tahun usianya pihak saya berharap suatu tindakan konkrit diambil bagi memberi keadilan kepada pihak yang dituduh bersikap zalim terhadap masyarakat India, “katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.