Pemuda UMNO Perlis Gesa Tindakan Terhadap Waytha Moorthy

KANGAR, 20 Nov. – Pemuda UMNO Perlis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah terhadap negara ini.

Dalam masa sama, Pemuda UMNO Perlis juga menuntut bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu meletakkan jawatan memandang kedudukannya sebagai menteri yang menjaga perpaduan disifatkan sebagai tidak sesuai selain telah menimbulkan ketegangan kaum.

Ketuanya, Harmizan Abd. Halim berkata, video wawancara Waytha Moorthy yang tular baru-baru ini seolah-olah mengambarkan Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang serius, merupakan fitnah jahat.

Malah katanya, tuduhan kononnya kerajaan melakukan penindasan teruk terhadap kaum lain antaranya seperti merobohkan kuil adalah tidak berasas.

“Sehingga kini beliau (Waytha Moorthy) tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat itu. Kami Pemuda UMNO negeri memohon pihak berkuasa menyiasat dan jika bukti di dalam video itu benar, hendaklah diambil tindakan dan dikenakan pendakwaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Serentak itu, Pemuda UMNO negeri turut tampil membuat laporan terhadap Waytha Moorthy di Balai Polis daerah di sini bagi menuntut pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadap beliau.

Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat yang tersebar baru-baru ini, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar dengan mendiskriminasi hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama.

Berikutan itu, ramai pihak termasuk dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan marah seterusnya mendesak Waytha Moorthy segera meletak jawatan.

Sementara itu, Pemuda UMNO negeri turut mendesak Waytha Moorthy menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat di negara ini.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.