Laporan Polis Dibuat Terhadap Waytha Moorthy

NIBONG TEBAL, 19 Nov – Pemuda UMNO Nibong Tebal hari ini membuat satu laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkaitan satu video yang tular di media sosial yang membabitkan dirinya.

Ketua pergerakan tersebut, Mohd Norhiesam Ismail berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri terbabit kerana kenyataan itu cukup merbahaya.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri terbabit cukup merbahaya… ia memburukkan nama negara di mata dunia malah boleh menimbulkan perpecahan dan sentimen perkauman di negara yang berbilang kaum ini.

“Pemuda Nibong Tebal juga ingin menggesa dan mendesak agar beliau meletak jawatan kerana sebagai seorang menteri dia tidak layak memegang portfolio yang cukup penting kerana kenyataannya boleh meruntuh dan merosakkan perpaduan yang ada.

“Kita juga minta supaya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat kembali tanggungjawab menteri yang ada di kabinet,” ujar beliau kepada media selepas membuat laporan polis.

Selain itu, Pemuda Nibong Tebal juga meminta kepada pemimpin PH jangan sesekali membangkitkan kemarahan rakyat kerana sejak akhir-akhir ini orang Islam dan melayu dijadikan bahan politik.

“Ingat bahawa kebangkitan rakyat akan bangkit sekiranya mereka terus-menerus mengacau hal sensitif orang melayu. Kami juga menyarankan agar Waytha Moorthy menumpukan perhatian kepada peraduan kaum India sajaha.

“Kami ada maruah… kamu juga ada maruah.. kami ada fahaman kamu juga ada fahaman maka jangan sentuh dan jangan bermain api dengan isu ini,”tegas beliau.

Baru-baru ini satu rakaman video lama yang dipercayai dibuat pada tahun 2007 menjadi tular di mana di dalam video tersebut Waytha Moorthy mendakwa Malaysia sebuah negara yang mendiskriminasi penganut Hindu termasuk memaksa kaum India memeluk agama Islam.

Maklumat yang tersebar di media sosial mendakwa Waytha Moorthy membuat kenyataan di mememburuk-burukkan Malaysia dalam usaha menjemput sokongan negara asing menumbangkan kerajaan BN.

Waytha Moorthy yang juga Pengerusi Hindraf dilantik sebagai Menteri oleh Mahathir dipercayai atas jasanya membantu PH menumbangkan kerajaan BN dalam PRU-14. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.