Tok Mat Ikrar Usaha Sehabis Mungkin Pertahan DUN Rantau

KUANTAN, 17 Nov – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berikrar akan berusaha sehabisnya dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan.

Mohamad yang menyandang kerusi itu sejak tahun 2004 menambah  ia termasuk jika perlu berdepan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang dikatakan antara nama yang dipertimbangkan Pakatan Harapan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

“Terpulang pada mereka hendak letak siapa bertanding…saya bersedia berdepan sesiapa sahaja.

“Sudah tentu saya akan berjuang habis-habisan  (pada PRK Rantau),” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas Perjumpaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama UMNO Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Tinggi Seremban semalam, memutuskan kemenangan Mohamad tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum lalu terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas calon PKR pada kerusi DUN ini, Dr S.Streram memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Mohamad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pada 23 lalu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.