Kerajaan PH Kelam-kabut

GUA MUSANG 17 Nov. – Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dilihat masih berada dalam keadaan kelam-kabut dan gagal melaksanakan janji yang dibuat walaupun sudah enam bulan mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pemimpin PH masih belum menyesuaikan diri sebagai kerajaan yang memerintah dan mengambil masa terlalu lama bagi menentukan peranan masing-masing.

Selain itu katanya, sesetengah wakil pihak kerajaan dilihat masih berlagak sebagai pembangkang walaupun mereka berjawatan menteri.

“Begitu juga kita (UMNO) sendiri pun nak sesuaikan sebagai pembangkang nampaknya agak kekok,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan masjid baharu di Bandar Lama, di sini hari ini.
Masjid baharu mengikut model Masjidil Haram di Mekah yang menelan belanja RM23 juta itu dijangka siap Mei tahun depan.

Tengku Razaleigh yang juga juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, kelemahan PH juga diakui oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila mengesahkan tidak semua perkara dijanjikan dapat ditunaikan.

“Kalau nak hapuskan tol, Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turun harga minyak, perkara itu sekarang amat sukar untuk kerajaan PH berbuat demikian,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh, rakyat juga sudah boleh dilihat menyesal memilih PH, malah, terdapat golongan mahasiwa universiti nekad berarak ke Parlimen membuat bantahan berkaitan PTPTN.

“Dia marah macam seolah kena tipu sebab dia harap gaji sampai RM4,000 baru bayar PTPTN.

“Sekarang, kerajaan tetapkan gaji minimun RM1,050 pun mereka sudah kena bayar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.