ICERD Terus Dibantah, Himpunan Secara Aman Dibuat

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terus dibantah dengan satu perhimpunan secara aman diadakan di sini, hari ini.

Lebih 1,000 aktivis, ahli politik dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di pekarangan Masjid Jamek Al-Jawahir, Mutiara Rini bagi sebagai membantah retifikasi ICERD.

Antara pemimpin politik yang hadir menyatakan sokongan ialah Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Abdul Shahrir Samad serta Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Hussin.

Perhimpunan tersebut diadakan bagi menolak sebarang campur tangan luar yang menggugat hak kepentingan agama Islam dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara di PAHANG, lebih 3,000 umat Islam tanpa mengira fahaman politik turut berhimpun di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah di sini hari ini atas tujuan yang sama.

Antara pemimpin yang kelihatan dalam himpunan terbabit ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Ashraf Wajdi Dusuki; Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabbar; Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Amir Syafiq Mohd. Dahlan dan Presiden Persatuan Pembimbing Masyarakat Sejahtera (PPMS), Dr. Syaraf Naquib.

Himpunan yang sama turut berlangsung di negeri-negeri lain termasuklah di Kelantan, Perak dan Pulau Pinang yang kesemuanya menyatakan bantahan ke atas pelaksanaan ratifikasi ICERD. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.