‘Suara Rakyat’ Sering Diganggu Di Dewan Rakyat Ekoran Sikap Tidak Profesional MP Pakatan Harapan


KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kecewa dengan sikap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang sering mengganggu pemimpin blok pembangkang membawa suara rakyat.

Jelas beliau, sikap Jelutong ini adalah sangat tidak profesional dan mungkin ditugaskan untuk mengganggu supaya Ahli Parlimen pembangkang hilang fokus.

“Saya berasa kecewa kerana kita bercakap mewakili rakyat tetapi mereka mengganggu… mesej yang saya hendak sampaikan untuk bantu rakyat mungkin tidak disenangi oleh PH (Pakatan Harapan). Sikap Jelutung sememangnya tidak profesional dan tugas dia saya percaya untuk mengganggu setiap ucapan supaya kita hilang fokus.

“Saya juga ingin katakan… cukuplah dengan sikap ‘blaming game’ kerana setiap kali bercakap mereka mesti salahkan kerajaan terdahulu. Tun Daim (Zainuddin) pun sudah menegur sikap mereka ini kerana tanggungjawab sekarang adalah kepada mereka jadi mereka harus bekerja untuk memastikan kepentingan rakyat terjaga,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ismail, kerana diganggu, beliau tidak berpeluang untuk menggesa kerajaan baru PH agar meneruskan insentif kepada pesawah dan insentif pendaratan ikan.

“Saya tidak sempat bercakap kerana diganggu. Berkaitan hutang pula, kerajaan PH janji hutang dihapuskan terus, itu manifesto pilihan raya mereka. Saya cuma minta kalau tidak hapuskan terus, sekurang-kurangnya tangguhkan pembayaran hutang kerana waktu BN (Barisan Nasional) memerintah kalau pendapatan di bawah RM1,500, semua hutang ditangguhkan. Itu sahaja yang saya minta.

“Saya juga berharap agar kerajaan jangan pinggirkan masyarakat luar bandar di mana 7.5 juta yang terkesan daripada bajet yang tidak langsung menyebut usaha untuk membantu mereka,” katanya lagi.

Rayer ‘melenting’ ketika Ismail membahaskan Bajet 2019 apabila berkata, ada pemimpin tertinggi PH yang mengeluarkan kenyataan bahawa bantuan tidak diberikan kepada golongan terbabit kerana ingin mereka bekerja lebih keras.

“Selepas bajet, kenyataan itu di buat. (Ahli Parlimen) Langkawi (Tun Dr. Mahathir Mohamad) ada kata,” kata Ismail Sabri.

Rayer yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu terus mengganggu dan meminta bukti Perdana Menteri bercakap demikian seolah-olah ragu ia kenyataan Tun Dr Mahathir menyebabkan tercetus pertikaman lidah antaranya dengan Ismail Sabri.

Tindakan Rayer dibidas oleh beberapa ahli parlimen blok pembangkang seperti Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan meneruskan insentif kepada nelayan, penoreh getah dan peneroka sawit yang terjejas akibat penurunan harga komoditi dan musim tengkujuh seperti yang dilaksanakan oleh pemerintahan terdahulu.

Ismail Sabri kemudian menyatakan kenyataan itu telah dikeluarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 10 November tetapi Rayer segera menuduh laporan akhbar milik UMNO itu tidak boleh dipercayai. – MediaUMNO