Kerajaan Negeri Pahang Bantah Ratifikasi ICERD

KUANTAN. 15 Nov – Kerajaan Negeri menyatakan bantahan terhadap ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketetapan itu dinyatakan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam media sosial Instagram beliau @wanrosdyofficial pada malam semalam.

Katanya, walaupun ICERD adalah usaha yang baik, namun pentakrifan diskriminasi yang dianjurnya boleh dimanipulasi dengan mudah oleh pihak yang mempunyai agenda tersembunyi.

“ICERD bukan perkara baharu kerana sejak ia berkuatkuasa lebih 50 tahun dahulu, Malaysia di bawah pemerintahan Barisan Nasional tidak pernah mengesahkannya. Malaysia antara 15 negara termasuk Brunei yang masih tidak mengesahkan ICERD hingga ke hari ini.

“Antara alasan (bantahan itu) ialah kerana (ICERD) bercanggah dengan Perlembagaan Negara khususnya Perkara 153 yang berkaitan dengan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Wan Rosdy menambah ICERD membelakangi kuasa dan peranan Yang Dipertuan Agong dan Sultan.

Isu berkaitan ICERD juga menurut Wan Rosdy, telah membangkitkan kebimbangan dan kemarahan sebilangan besar rakyat.

Selain itu, beliau berkata 25 artikel ICERD mempunyai pemaknaan yang luas dan tidak dibentuk berdasarkan perlembagaan atau undang-undang negara tertentu.

“Oleh itu, amat mudah bagi pihak-pihak yang mempunyai agenda tersembunyi di negara kita untuk memanipulasi Perlembagaan kita,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy semasa merasmikan Ulang Tahun Pertama Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturahim Pahang (Ukhuwah) di sini semalam, menggesa badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi medan penyatuan bangsa Melayu.

Katanya, orang Melayu kini ada yang telah berpecah-belah akibat pelbagai perbezaan termasuk berbeza dalam ideologi politik.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada persatuan Ukhuwah untuk digunakan bagi melaksanakan aktiviti kebajikan mereka. – BERNAMA