Jom Bersama KJ ‘Live’ Wacana U3.0, Malam Ini


KUALA LUMPUR, 15 Nov – Pada 1 November, sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu membentangkan bajet bayangan yang dikenali sebagai Inisiatif Ekonomi Rakyat.

Insiatif Ekonomi Rakyat bagi tahun 2019 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Parlimen itu dibina di atas falsafah yang dibawa oleh kerajaan BN sebelum ini untuk memastikan semua segmen terpelihara melalui tiga teras iaitu merancakkan pertumbuhan, meningkatkan pengagihan dan kalis masa hadapan.

Justeru, pada jam 9 malam ini Penerangan UMNO Malaysia akan membawakan Wacana U3.0 bersama Khairy yang juga memegang portfolio kewangan di dalam gagasan pembangkang, secara langsung (live) bagi membicarakan Inisiatif Ekonomi Rakyat tersebut dengan lebih mendalam.

Perbincangan ilmiah dan dinamik ini akan dikendalikan oleh Datuk Dr Azizan.

Dalam wacana malam ini juga, Khairy dijangka akan turut mengulas mengenai Belanjawan 2019 kerajaan PH yang bukan sahaja tidak banyak titik sentuhan untuk rakyat malah tiada pengumuman dan berstrategi besar untuk merancakkan ekonomi negara.

Wacana yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini akan turut diadakan secara ‘live’ melalui medium Facebook UMNO-online, di pautan www.facebook.com/mediaumnomalaysia khusus kepada mereka yang tidak berkesempatan hadir.

Selain hadirin yang menonton, para netizen dijemput untuk bersama-sama mengikuti kupasan panel di samping melontarkan pandangan, idea atau persoalan menerusi ruangan yang ada. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.