Tinggalkan Medan Perjuangan? Itu Pengecut Namanya…. – Kak Su


ALOR SETAR, 14 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dengan nada tegas berkata hanya pemimpin pengecut sahaja yang akan berpaling meninggalkan medan perjuangan.

Ini lebih-lebih lagi ketika mana parti yang dinaungi sedang menghadapi musibah serta memerlukan kekuatan untuk bangkit semula bagi memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, jelas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Amat mendukacitakan apabila melihat seorang tokoh yang diangkat UMNO, tiba-tiba meninggalkan perjuangan anak bangsa, seolah-olah mencemarkan ‘track record’ yang baik di penghujung usia karier politik serta tergamak mengkhianati para pengundi yang menaruh harapan tinggi padanya, tambah Suraya lagi.

“Kesal bukan kepalang dengan tindakan Guar Chempedak, namun Sungai Tiang dan Bandar Baharu tidak akan sesekali lari daripada perjuangan. Biar sesukar manapun, di atas prinsip kepartian, kami berdiri teguh setia kepada UMNO bersama amanah rakyat yang digalas.

“UMNO pasti bangkit. Perjuangan parti keramat bangsa ini akan tetap kami teruskan walau terpaksa menongkah arus deras yang membadai.

“Kami tetap setia bersama UMNO yang kini semakin gagah membelah arus, demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu! UMNO itu sebuah perjuangan,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini, mengulas mengenai keputusan ADUN Guar Chempedak Datuk Sr Ku Abdul Rahman Ku Ismail meninggalkan UMNO dan bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, wakil UMNO di dalam DUN Kedah kini hanya tinggal dua orang sahaja dan kedua-duanya wanita, iaitu Suraya dan juga Datuk Norsabrina Mohd Noor, ADUN Bandar Baharu.

Sehubungan itu, Suraya yang mesra dengan panggilan Kak Su senada dengan kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Sanusi Mohamad Nor yang menyifatkan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu sebagai pengecut, yang seolah-olah mencari jalan keluar dari medan perjuangan.

“Beliau memberi alasan ‘berhijrah’ di atas nama Islam, kononnya tidak senang dengan beberapa imej pemimpin yang mencemarkan nama baik UMNO, (itu) hanyalah satu alasan lemah untuk meninggalkan UMNO dan bersekongkol dengan parti chauvinis ultra kiasu serta pihak yang mengkhianati perjuangan parti.

“Sejarahnya, bukan hanya sekarang pemimpin UMNO telah dituduh dengan pelbagai tohmahan dan pembohongan, malah sejak dari zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi pemimpin UMNO dan BN (Barisan Nasional) telahpun dituduh dengan bermacam-macam tuduhan negatif,” tegasnya.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang turut menimbulkan persoalan mengapa Ku Abdul Rahman tidak meletak jawatan ketika UMNO berkuasa sebelum ini.

“Mengapa pula memilih meninggalkan UMNO hanya setelah parti ini tewas dan berstatus pembangkang?

“Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dituduh dengan pelbagai tohmahan, mengapa tidak dilepaskan saja jawatan Exco Kerajaan Negeri?,” soalnya.

Sememangnya Islam menganjurkan umatnya untuk berhijrah daripada kemungkaran ke arah suatu yang lebih baik, namun Islam menolak umatnya berhijrah untuk bersekutu dengan mereka yang mengenepikan syiar Islam dan kepentingan anak bangsa sendiri, bukan?, akhiri Suraya yang meninggalkan persoalan kepada ADUN Guar Chempedak itu. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.