Bajet 2019: Tema Hanya Tinggal Tema… Janji Hanya Tinggal Janji

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Bajet 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ ternyata tema hanya tinggal tema, janji hanya tinggal janji, bajet hanya tinggal bajet kerana apa yang dibentangkan adalah retorik semata-mata, kata Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, dalam Bajet 2019, tema sebagai Malaysia wibawa mana mungkin boleh diketengahkan untuk melahirkan satu negara Malaysia yang berwibawa kalau dalam bajet mengucapkan terima kasih kepada Great Eastern Life Insurans, dalam waktu yang sama, besoknya syarikat insurans mengaku bahawa mereka belum bersetuju lagi.

“Wibawa macam mana? Menteri Kewangan kata dah setuju tapi besoknya di Singapura Great Eastern Life Insurance kata tak setuju. Mana mungkin wibawa kalau ini telah pun dah diperkotak-katikkan oleh orang yang dah dibawa dalam ucapan Menteri Kewangan. Ini bukan sesuatu yang berwibawa.

“Ekonomi yang dinamik… macam mana kata Ekonomi yang dinamik kalau segala apa yang dikata semuanya mengagalkan projek-projek yang boleh meransangkan ekonomi dalam negara. Yang banyaknya membatalkan segala projek-projek yang kita rasa mampu bukan hanya membangunkan negara tetapi juga membantu seluruh rakyat yang ada dalam negara.

“Kalau kita lahirkan ECRL sebagai contoh, ia boleh membantu mereka yang duduk di Pantai Timur. Kalau kita batalkan HSR, ini juga membantu banyak pelancong-pelancong dari Singapura, juga membangunkan kawasan-kawasan di sebelah Selatan.”

Katanya, begitulah juga projek-projek lain yang nak dibuat, tapi telah dibatalkan.

“Saya hairan sedangkan ini adalah projek-projek untuk melahirkan peluang-peluang pekerjaan yang begitu hebat.

“Kalau tema mengatakan ekonomi dinamik, yang saya dengar, yang saya abaca, ucapan Menteri Kewangan Dap itu hanyalah memberitahu kepada kita projek ini dibatalkan… projek ini dibatalkan… projek ini dibatalkan. Kalau semua projek dibatalkan mana ada projek ekonomi yang dinamik?” bidas beliau ketika membahaskan Bajet 2019 di Parlimen semalam.

Begitu juga katanya dengan apa yang dibangkitkan tentang tema kesejahteraan.

“Macam mana nak sejahtera kalau banyak projek-projek yang dahulu dibawa oleh Barisan Nasional (BN) banyak dibatalkan. Contoh BRIM, BN nak naikkan RM2,000 tapi PH nak turunkan… bantuan golongan nelayan, petani dan peladang, jaringan keselamatan sosial, bantuan musim tengkujuh, bantuan khas musim menuai semuanya tak ada. Mana mungkin rakyat sejahtera jika semua ini dihapuskan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO