Tindakan Persoal Perkara Asas Perlembagaan Persekutuan Perlu Segera Ditangani, Dibanteras

SHAH ALAM, 13 Nov – Tindakan golongan tidak bertanggungjawab mempersoalkan kesucian agama Islam, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, bahasa kebangsaan serta fungsi dan kedudukan Raja-raja Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu segera ditangani dan dibanteras.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, golongan ini juga tidak boleh dibiarkan daripada terus menghasut rakyat membangkit serta mempersoalkan perjanjian ‘kontrak sosial’ yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum majoriti di Malaysia sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Baginda bertitah, perjanjian yang telah dipersetujui ini telah diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

“Walau berulang kali beta telah menyentuh tentang isu-isu ini, namun beta akan terus bersuara dan menegaskan bahawa tiada sebarang tolak ansur dalam cubaan golongan tertentu mengikis kuasa dan keistimewaan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan ini.

“Peranan raja-raja Melayu dalam memayungi kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera tanpa mengetepikan hak kaum lain akan terus bertapak di negara ini dan dipertahankan,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah pada program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah 2018, Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme serta Pelancaran Buku Fatwa Warta Kerajaan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Ab Wahid dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sultan Sharafuddin dalam pada itu menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat pemimpin beragama Islam menyokong tuntutan golongan liberal sedangkan pemikiran liberal jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Fahaman liberalisme ini telah berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam sehingga muncul golongan yang menuntut kesamarataan gender, perkahwinan sesama jantina, menolak para ulama, wanita menjadi imam solat dan wali perkahwinan, menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain serta tuntutan kebebasan beragama dan menukar agama sesuka hati.

“Beta amat khuatir jika pemikiran ini tidak dibendung secara serius, ia mungkin akan menjadi satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan agama Islam di negara ini dan dikhuatiri Allah SWT akan menurunkan malapetaka kepada kita semua,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah baginda tidak mahu Selangor menjadi pusat penyebaran ideologi fahaman-fahaman sesat sebegini.

Justeru, baginda mengingatkan Jabatan Agama Islam Selangor supaya memantapkan tindakan penguatkuasaan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman bertentangan dengan ajaran Islam atau yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng.

“Program-program kesedaran berkenaan ancaman terhadap akidah umat Islam dan program pengukuhan akidah juga perlu dipertingkatkan bermula dari peringkat sekolah lagi serta di masjid dan surau seluruh Selangor,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa amat dukacita apabila mendapati ada umat Islam yang tidak mempunyai kepakaran dalam membicarakan isu berkaitan hukum Islam mempertikaikan fatwa dikeluarkan oleh Selangor yang telah diputuskan dan diwartakan.

Baginda bimbang pertikaian itu dibuat secara terbuka dan ia boleh menyebabkan umat Islam menjadi keliru, berbalah dan berpecah-belah.

“Sekiranya ada pihak tidak berpuas hati dengan fatwa negeri Selangor yang dikeluarkan ianya tidak perlu dibahaskan secara terbuka sebaliknya terdapat saluran tertentu bagi menyuarakan pendapat mereka berkaitan sesuatu fatwa yang dipertikaikan tersebut.

“Beta percaya jika pendekatan ini diambil, perbincangan secara ilmiah akan dapat dilakukan bagi mengatasi sebarang pertikaian dan perbezaan pendapat berkaitan dengan sesuatu fatwa,” titah baginda. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.