Menteri Pendidikan Disaran Kurangkan Kajian Tak Penting… Kasut… Stokin…

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegur Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dilihat lebih banyak membuat kajian kurang penting berbanding dengan usaha untuk membantu rakyat.

“Daripada mengkaji perkara tidak perlu, eloklah beliau membuat syor kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk menyambung semula program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Kurangkan kajian tak penting, kasut, stokin dan sebagainya…lebihkan tindakan untuk bantu rakyat yang miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perbahasan Belanjawan 2019 dalam maklum balasnya yang menyentuh mengenai kenyataan Dr Maszlee untuk mencontohi Jepun dengan mengkaji skim sarapan percuma kepada pelajar B40.

“Inilah natijahnya apabila terlalu sibuk dengan perkara-perkara yang tidak penting, masih nak jadi presiden universiti walaupun dah jadi menteri, sampai tidak sedar mengenai program kementerian sendiri iaitu RMT yang telah bermula di bawah Barisan Nasional (BN) pada 1979,” bidasnya.

Dalam hal yang sama, beliau yang mewakili ketua pembangkang dalam menyampaikan perbahasan turut membidas berkaitan pemotongan terhadap bantuan kepada para pelajar.

“Golongan pelajar, daripada sekolah sehingga lah bergraduan, daripada universiti atau kolej, banyak yang dipotong. Bantuan pelajar sekolah dikurangkan, misalnya Bantuan Makanan Prasekolah dan Bantuan Makanan Asrama masing-masing dipotong sebanyak RM10 juta dan RM100 juta.”

Katanya, pemberian biasiswa turut terkesan, antaranya, Biasiswa Kecil Persekutuan berkurang RM28 juta dan pemotongan sebanyak 20% biasiswa dan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA), 33% untuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 26% Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam Kabinet Bayangan BN, Khairy memegang Portfolio Kewangan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.