Musa Disambut Ratusan Penyokong Di KKIA

KOTA KINABALU, 7 Nov — Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.55 tengah hari selepas beberapa bulan berada di ibu negara.

Ketibaan Musa disambut ratusan penyokongnya termasuk pemimpin politik pembangkang di Sabah dari Umno Sabah dan Parti Bersatu Sabah serta pemimpin dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang mula berkumpul di lapangan terbang itu seawal 10.30 pagi.

Petang ini, kira-kira 2.30 petang, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan mengenai saman Musa yang mencabar kesahihan perlantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada Musa akan menghadiri prosiding mahkamah berkenaan atau sebaliknya.

Pada Isnin (5 Nov) lepas, Musa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 35 pertuduhan rasuah berkaitan kontrak konsesi balak berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM2 juta.

Hakim Rozina Ayob mengarahkan Musa, 67, membayar RM1 juta pada Isnin dan RM1 juta lagi pada hari ini (Rabu) dan menyerahkan satu pasport diplomatik dan satu pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai. — BERNAMA

Komen Anda?


2 weeks ago