Hati-hati Sebelum Iktiraf ICERD

KANGAR 6 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati dan mengkaji dengan lebih mendalam kesan jangka panjang yang bakal dihadapi oleh negara jika mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan tidak boleh buat keputusan hanya atas desakan sesetengah pihak semata-mata.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan semua kaum serta pelbagai pihak dalam isu ini.

“Kita harus subjektif dalam hal ini dengan memikirkan kesan jangka panjang jika ICERD diiktiraf di negara ini.

“Sebelum keputusan meratifikasi konvensyen ini dibuat, mestilah mendapat input sewajarnya daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas program jom memancing Muafakat Komuniti Malaysia (MKM) Kampung Wang Besar 2018 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, kerajaan negeri ini tidak akan mengikut jejak langkah Kelantan yang bercadang melaksanakan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial.

Katanya, situasi remaja di negeri ini masih terkawal dan tidak perlu langkah seperti itu dilaksanakan.

“Kita tidak akan laksana kerana di Perlis, Insya-Allah masalah remaja masih terkawal dan tidak perlu perintah berkurung,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.