UMNO Kedah Lapor Polis Desak Kadir Jasin Disiasat

PENDANG 4 Nov. – Setelah lebih 48 jam tempoh diberi agar Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin memohon ampun ke atas Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, UMNO Kedah hari ini membuat laporan polis agar individu berkenaan disiasat.

Laporan berkenaan dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob di Ibu pejabat Polis Daerah Pendang di sini menuntut pihak berkuasa menyiasat A Kadir ekoran kenyataan biadabnya dalam satu artikel bertajuk “Kadir Jasin: Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat raja.”

Kata beliau, sekiranya isu berkenaan dibiarkan tanpa tindakan, ia dijangka mampu mencalar imej serta menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Sultan Kedah, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang berdaulat.

“Oleh itu, saya terpanggil untuk membuat laporan polis supaya menyiasat kebiadaban A Kadir kerana saya berpandangan bahawa penulisannya jelas menyalahi Akta Hasutan 1948, khususnya niat tertentu yang mencabar etika kerahsiaan institusi Diraja dan menjejaskan imej Raja-raja Melayu di mata rakyat.

“Ia jelas satu tindakan biadab yang melanggar dasar dan semangat Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Penulisan tidak beretika ini jelas menjejaskan nama Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-raja Melayu, khususnya Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,” katanya di sini hari ini.

Khamis lalu UMNO Kedah mendesak agar A Kadir membuat permohonan maaf ke atas Sultan Kedah ekoran penulisan dalam blognya itu dalam tempoh 48 jam atau laporan polis akan dibuat.

Kata Suraya, laporan ini dibuat agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap A Kadir atas penulisannya supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai terhadap Raja-raja Melayu yang terpelihara kedaulatannya di dalam Perlembagaan Negara.

Suraya menambah, penulisan Kadir yang mengulas mengenai majlis istiadat pertabalan Sultan Kedah yang ke-29 pada 22 Oktober lalu dimulakan dengan baik, namun tiba-tiba mengungkap soal “berpanjangan usia di bilik lembaga” dan
“pelihara konglomerat niaga baginda,” yang menimbulkan tanda tanya mencurigakan.

“Agenda sebenar Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu mampu mencetus kekecohan awam apabila dengan biadab cuba mendorong etika kerahsiaan perbelanjaan dan emolumen Raja-Raja Melayu pada perenggan akhir artikel, kononnya segala perbelanjaan berkenaan perlu didedahkan kepada rakyat menerusi Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.

“Saya dapati, melalui status A Kadir yang merupakan pemimpin politik, motif penulisannya akan memberi persepsi buruk terhadap Sultan Kedah, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang merupakan pimpinan tertinggi negara yang tidak wajar dipersoalkan secara terbuka. Malah penulisannya mampu mempengaruhi rakyat untuk tidak setia dan taat pada pemerintahan Raja-raja Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.