Lebih 1,000 Hadir Himpunan Bantah ICERD Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Lebih 1,000 orang termasuk anggota parti pembangkang dan badan bukan kerajaan menyertai perhimpunan membantah hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di ibu negara hari ini.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Lokasi perhimpunan itu juga dikawal ketat oleh polis.

Perhimpunan anjuran Pemuda UMNO dan PAS itu dibuat susulan laporan media sebelum ini yang memetik beberapa menteri Pakatan Harapan bahawa Malaysia akan meratifikasi ICERD.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan dengan semua kaum akan diadakan sebelum Malaysia meratifikasi konvensyen tersebut selain mengakui ia bukan perkara mudah kerana negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan masing-masing ada kepentingan sendiri.

Mengulas perhimpunan hari ini, Asyraf Wajdi berkata ia bertujuan mengekalkan keharmonian negara.

“Kita merancang untuk melakukan jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan mengenai isu ICERD sekiranya (ratifikasi) konvensyen itu diteruskan,” katanya.

Antara NGO yang hadir ialah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang memegang pelbagai sepanduk antaranya tertulis ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ dan takbir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah ketika ditemui pemberita berkata perhimpunan berjalan dengan aman tanpa provokasi.