Wakil NGO Menanti Panggilan Kerajaan Untuk Perbincangan Lanjutan Isu ICERD  

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Timbalan Pengerusi Pembela Ummah, Kamarulzaman Muhammad berkata, hasil rundingan wakil-wakil NGO dengan pihak kerajaan di Parlimen telah mencapai kata putus di mana pihak kerajaan akan memanggil wakil-wakil NGO dan pihak yang berkepentingan sebelum meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy baru-baru ini.

Menurut beliau, wakil kerajaan, Dr Muhd Farid telah bersetuju untuk  mengadakan perbincangan lebih lanjut berhubung hal ini sebelum tindakan terhadap ratifikasi ICERD ini diteruskan oleh pihak kerajaan.

“Beliau telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan yang lebih lanjut bersama NGO-NGO dan pihak yang berkepentingan sebelum pihak kerajaan mengadakan sebarang ratifikasi ICERD ini.

“Kami juga telah bertemu dengan pihak pembangkang di mana mereka memberikan sepenuh komitmen untuk berusaha supaya ICERD ini gagal diterima di dalam persidangan akan datang,” ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Manakala Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat pula berkata, Gabungan NGO Pembela Ummah akan menunggu panggilan daripada kerajaan untuk mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil NGO bagi membincangkan lebih lanjut tentang perkara ini.

Kata beliau, Gabungan NGO Pembela Ummah amat komited dalam untuk menentang ICERD ini dan mengharapkan ahli-ahli Parlimen berbangsa Melayu untuk bersatu bersama menentang sebarang ratifikasi konvensyen antarabangsa ini.

“Ini kerana isu ICERD ini merentasi masalah politik. Ini ialah isu masa depan agama, masa depan bangsa kita dan masa depan perlembagaan negara kita, masa depan institusi Raja-Raja, yang wajib kita semua pertahankan.

“Dulu pun mereka melobi dalam isu ICERD ini, sejak dari kerajaan Barisan Nasional lagi. Tetapi BN masih ada prinsip untuk mempertahankan dan tidak menandatangani persetujuan itu. Dan mereka tidak terperangkap dengan desakan kumpulan-kumpulan ini.

“Tetapi kumpulan ini sedang mengambil kesempatan kepada kerajaan yang baru. Jadi sebab itu kita harapkan, kerajaan PH kalau mereka menandatangani, bermakna kerajaan hari ini terlalu lemah dan tunduk pada desakan berbanding kerajaan dulu,” ujarnya.

Justeru beliau mengharapkan agar kerajaan PH tidak terikut rentak kumpulan pendesak tersebut dan kerajaan perlulah berbincang dengan orang Melayu dan umat Islam yang menjadi majoriti terbesar rakyat di negara ini.

Kira-kira 500 wakil daripada NGO-NGO Melayu dan parti politik hadir untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung hasrat kerajaan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di perkarangan parlimen Rabu lalu.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.