Tidak Adil Hukum Dan Salahkan UMNO Tentang Isu 1MDB


KUALA LUMPUR, 2 Nov – Adalah tidak adil, wajar dan munasabah untuk mana-mana pihak terus menerus menyalah dan melibatkan UMNO dengan perkara yang tidak diketahui dan tidak berpunca atau dilakukan olehnya, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung dengan isu 1MDB.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak agar bersikap matang, terbuka dan berlaku adil terhadap UMNO.

“UMNO sebagai sebuah parti tidak bersalah dan sama sekali tidak terlibat dengan sebarang operasi dan transaksi 1MDB.

“UMNO dan saya secara peribadi sudah pasti bersimpati dengan mantan Presiden UMNO yang perlu berhadapan dengan semua ini. Seperti mana-mana kes yang sedemikian, ia mesti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan mengadilinya, secara sah, teratur dan berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, kenyataan terkini Tan Sri Abu Kassim, mantan Pesuruhjaya SPRM dan kenyataan Tan Sri Ambrin Buang, mantan Ketua Audit Negara jelas membuktikan bahawa skandal ini belum menampakkan sebarang tanda akan reda atau berkesudahan, malah, ia dijangka berlarutan dan akan terus memakan masa yang lama.

Pihak Department of Justice Amerika Syarikat (DOJ) juga telah memulakan tindakan pendakwaan terhadap beberapa suspek dan pemain penting 1MDB.

“Justeru, sangat penting untuk semua pihak mengambil maklum bahawa pasti akan ada usaha berulang-ulang untuk mengheret UMNO ke dalam kancah skandal ini secara konsisten, sama ada secara langsung atau pun tidak.

“Yang lebih penting, semua pihak mesti menghargai bahawa UMNO mempunyai agenda yang lebih besar dan mustahak untuk bangsa, agama dan tanahair.

“UMNO mesti memastikan kelangsungan tanggungjawab besar ini tanpa tersasar dari mandat, fokus serta tugasnya dalam memperkaya dan memperkasa kebolehsaingan bangsa Melayu dan Malaysia amnya.”

Tegasnya, selagi UMNO dikaitkan secara tidak berpatutan dengan skandal 1MDB, selagi itulah usaha merawat, memulih dan membangunkan UMNO akan terencat dan disalah erti.

“Sekali gus tugas besar UMNO akan terbantut dan tidak dapat dilunaskan dengan baik.”

Sehubungan itu, beliau turut menyeru kepada semua yang mempercayai dan meyakini tugas besar UMNO kepada bangsa harus diteruskan dengan lebih giat, agar dapat memberikan seluruh tumpuan, kudrat, usaha dan pemikiran untuk menjayakan amal bakti UMNO yang kita kasihi ini.

“Kepada bangsa Melayu, UMNO tidak meminta banyak. Hanya bertindaklah secara rasional dan adil terhadap UMNO. Berilah ruang untuk gerakan amal bakti ini meneruskan perjalanan dan sumbangannya kepada bangsa, agama dan tanahair.

“Sesungguhnya UMNO selama ini telah meletakkan kedudukan orang Melayu dan Malaysia secara adil di tahap yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Menghukum UMNO secara berterusan, atas isu yang bukan berpunca darinya, mahupun menjadi kesalahannya, adalah tidak adil dan sama sekali tidak akan menguntungkan bangsa Melayu.”

Dalam masa yang sama, beliau turut mendoakan yang terbaik kepada Najib dan semoga kebenaran dan keadilan diangkat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.