Tiada Kelainan… Pembangkang Tolak Belanjawan 2019 – Ahmad Zahid

 

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Parti pembangkang menolak pembentangan Belanjawan 2019 yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada kelainan yang besar yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2019 tersebut.

“Kita dapati tidak ada kelainan yang besar yang telah dibentangkan malah tidak ada pun perancangan khusus untuk petani dan nelayan dan juga mereka yang menjadi pekebun-pekebun kecil terutama apabila harga komoditi jatuh.”

Jelasnya, banyak projek-projek besar telah dikurangkan kosnya tapi sebenarnya dalam perkara ini ia bukan satu penjimatan.

“Begitu juga bagi meningkatkan hasil kerajaan mereka bercadang untuk menjual aset-aset dan ini merupakan satu tindakan kebelakang.

“Kita lihat bahawa ada orang yang datang dari luar negara, yang dengarnya ditempatkan di Labuan semata-mata untuk membeli aset-aset ini dan apabila harga saham terlalu rendah maka ketika itulah orang-orang tertentu akan mula mengambil aset-aset ini dan ini akan mengurangkan kekangan kerajaan dalam GST,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Tegasnya, pada keseluruhannya pembangkang menolak belanjawan yang dibentangkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.