UMNO Tidak Lari Daripada Perjuangan, Yang Lari Pemimpin Yang Ada Dalam PPBM

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan UMNO tidak pernah lari daripada memperjuangkan Agama, Bangsa serta Tanah Air dan pada masa yang yang sama tidak menafikan hak kaum-kaum lain.

Menurut beliau yang lari daripada perjuangan adalah beberapa pemimpin yang dahulunya membina sokongan melalui UMNO, namun kini bersama parti lain termasuklah di dalam kerajaan hari ini.

“Kenyataan ini sekadar mahu melemahkan semangat pejuang UMNO di akar umbi bagi menghalalkan usaha PPBM ‘mencuri’ lebih ramai Ahli Parlimen kami.

“Adakah PPBM cukup kuat untuk menggantikan UMNO? Adakah PPBM mampu perjuangkan orang Islam dan Melayu?”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tegas beliau kenyataan rakan ‘separti’ YB Rina Harun sendiri iaitu Syed Saddiq baru-baru ini jelas membuktikan PPBM bukanlah parti yang mampu perjuangkan Agama dan Bangsa.

“YB Rina mungkin perlu bertanya kepada Syed Saddiq apakah niat beliau menyatakan ‘Sudah Tiada lagi Ketuanan Melayu di negara ini’,” ujarnya.

Memetik laporan, UMNO didakwa terpesong daripada perjuangannya untuk mempertahankan dan memartabatkan hak keistimewaan Melayu.

Ketua Serikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata, ini kerana suara rakyat sekadar dipandang sepi oleh pemimpin parti itu.

“Sewaktu saya sebagai Ketua Puteri UMNO Sepang dan memegang jawatan sebagai Setiausaha Puteri Selangor, mereka hanya memandang sepi setiap kali suara rakyat dibangkitkan di dalam mesyuarat bahagian atau cawangan. Sepatutnya itulah merupakan platform tepat untuk mendengar masalah rakyat,” katanya.

Tegas Zahida, malang bagi orang-orang Melayu apabila kenyataan tersebut keluar daripada mulut pemimpin yang kononnya memperjuangkan nasib pribumi di negara ini.

“Tidak heran jika kenyataan itu keluar daripada pemimpin DAP kerana semua tahu hala tuju perjuangan mereka,” ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.