Lamaran Sertai PPBM : “Kita Pegang Amanah, Kita Menang Kerana Logo BN” – Annuar Musa

 

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menafikan ramai ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang menerima lamaran daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baik secara terus mahupun melalui pengantara.

Namun jelas beliau, setiap wakil rakyat harus sedar kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu adalah kerana logo BN.

“Idea untuk memperkuatkan PPBM itu datang dari pihak tertentu dan kita bukan tidak mempertimbangkan perkara ini. Kita faham.. PPBM terlalu lemah dengan 13 kerusi dan juga boleh menjadi tidak stabil.

“Sebagai orang politik, kita faham tapi kita juga ada tanggungjawab yang lebih besar… sebagai wakil rakyat, kita menang kerana logo BN jadi kebertanggungjawaban kita itu, satu… kepada rakyat dan kedua akan ditanya di akhirat kelak.. kamu diberi amanah kenapa kamu pecah amanah.. misalnya…,” jelas beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya adakah dirinya juga menerima tawaran jelas beliau sekiranya ada, dirinya tidak berminat kerana dari dulu hingga kini hasratnya adalah untuk kekal dalam parti UMNO.

“Kalau saya nak senang saya boleh ikut cara Tok Pa (Datuk Seri Mustapha Mohamed) tapi saya nak kekal sebagai orang yang berkhidmat kepada parti. apa yang baik untuk UMNO dan dasar-dasar yang diperjuangkan UMNO, saya akan lakukan,” jelas beliau.

Sebelum ini, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa kira-kira 10 Ahli Parlimen UMNO mungkin akan meninggalkan parti untuk menyertai PPBM.

Kenyataan itu turut mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial yang sangsi sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

Difahamkan usaha menarik ahli Parlimen UMNO dan BN ini mahu diselesaikan sebelum pembentangan Bajet 2019 pada Jumaat ini. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.