Dr Asyraf Ajak Syed Saddiq Dialog Secara Ilmiah… Bincang Agenda Melayu

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak Ketua Armana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdialog bagi membincangkan agenda Melayu secara ilmiah.

Menurut beliau matlamat dialog berkenaan bukan mencari pemenang sebaliknya lebih kepada mencari kebenaran dan titik persamaan sebelum lebih parah dipolemikkan.

“Sekali lagi saya mohon Yb Syed Saddiq untuk meluangkan masa untuk kita berdialog secara terbuka bagi membincangkan mengenai masa depan Agenda Melayu secara ilmiah dan objektif.

“Matlamat dialog bukan mencari siapa pemenang dan hebat berdebat kerana saudara sudah ternobat pendebat terbaik, tetapi lebih kepada mencari kebenaran dan titik-titik persamaan demi masa depan Bangsa dan Agama kita sebelum lebih parah diperkotak-katik dan dipolemikkan.

“Saya mendengar butir-butir kata pemimpin muda harapan PPBM, YB Syed Saddiq di Youtube yang semacam mahu menanggalkan identiti politik berasaskan bangsa dan mahu memperjuangkan hak kesaksamaan kaum di Malaysia. Bagi beliau agenda Melayu seolah-olah tidak lagi relevan dalam lanskap politik Malaysia Baharu.,” katanya menerusi catatan di facebooknya di sini hari ini.

Kata Asyraf lagi makin terserlahlah sedikit demi sedikit pendirian PPBM yang hakikatnya hanya 13 kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan, sudah mulai tunduk kepada kehendak Parti majoriti DAP yang konsisten membawa agenda Malaysian Malaysia yang mahukan kesaksamaan dan kesamarataan hak antara kaum.

“Justeru tiada jaminan kepentingan Melayu dan Bumiputera akan dipertahankan dan diperjuangkan PPBM jika pemimpin muda pelapis mereka sendiripun tidak menjiwai idealisme yang pernah diperjuangkan sendiri oleh Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir,” ujarnya. -MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.