Waspada Musuh Politik Cuba Pecahbelahkan UMNO – Noraini
KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata pergerakan itu percaya, kenyataan yang dibuat oleh Datuk A Kadir Jasin, bahawa 40 ahli Parlimen UMNO akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semata-mata bertujuan menjadikan UMNO lemah dan berpecah.
Justeru, tegasnya Wanita UMNO berharap ahli-ahli parti sedar tentang usaha berterusan memecahbelahkan parti terutama oleh musuh politik.
“Kenyataan tersebut adalah antara ‘perang psiko’ yang bertujuan untuk menggugat kesepaduan dan kejituan parti. Kita perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama pada masa ini adalah membangkitkan semula UMNO dengan mengutamakan penyatuan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, katanya lagi Wanita UMNO turut yakin ahli-ahli Parlimen UMNO yang setia dengan parti tidak akan mengambil keputusan yang boleh membawa kehancuran kepada parti sekaligus meminggirkan dan menghancurkan kepercayaan ahli-ahli parti.-MediaUMNO