Ambil Analogi ‘Bola Sepak’ Untuk Teruskan Perjuangan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Siapa sangka cempedak jadi nangka. Kata pakar motivasi memang senang nak mencapai sesuatu kejayaan jika berusaha.
Namun hendak mengekalkan kejayaan tersebut lebih payah, sudah pasti pelbagai pihak yang bersaing akan cuba menjatuhkan kita dengan pelbagai cara.
Kita ambil analogi pasukan di dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Liverpool, Manchester United, Manchester City, Chelsea dan Arsenal yang pernah menjadi juara EPL lebih dari satu musim.
Menjadi juara bertahan memerlukan kekuatan dari segala segi tidak kira pertahanan, serangan, tengah dan penjaga gol. Jika semuanya lengkap sudah pasti potensi menjadi juara berulang kali bukan suatu fantasi.
Mengimbas kenangan lalu, Malaysia pernah mempunyai penyerang hebat, Mokhtar Dahari bersama rakan-rakan beliau Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun, R. Arumugam dan lain-lain yang berjaya ke peringkat Sukan Olimpik. Selepas era beliau segalanya seakan serba tidak menjadi.
Sejak itu Malaysia hanya melahirkan penjaga gol yang hebat seperti Khairul Azman Mohamed, Khairul Fahmi Che Mat dan melahirkan penyerang seperti Azman Adnan. Sehingga kini prestasi pasukan Malaysia turun naik seperti yo yo.
Mungkin kisah kehebatan Juara EPL dan pasukan bolasepak Malaysia di Sukan Olimpik Munich boleh dijadikan contoh untuk kita memperkuatkan UMNO dari segala segi.
Apabila Pasukan Leicester City (disebut Lester dan dikenali sebagai Foxes atau musang) memenangi EPL pada musim 2015-2016 seluruh dunia bolasepak terpempan. Bagaimana pasukan dengan bajet tidak sebesar Manchester United dan Manchester City serta Chelsea mampu menjadi Juara EPL dengan pemain yang tidak dianggap bintang.
Kini UMNO perlu meletakkan parti kita sebagai sebuah pasukan bolasepak seperti Leicester City seimbang dari setiap posisi. Teamwork kata kuncinya. Bukan sahaja bergerak sebagai satu unit untuk menjaringkan gol tetapi tidak menjaringkan gol sendiri.
Dalam keadaan sekarang Pakatan Harapan sedang bergelut untuk meletakkan posisi ‘pemain’ baru mereka dalam Kerajaan. Malahan ‘pemain’ dari pasukan kita turut berada dalam pasukan mereka walaupun dahulu pemimpin kita turut menjadi mangsa serangan politik mereka.
Kepada ahli-ahli UMNO janganlah kita mengkucar-kacirkan pertahanan kita sendiri buat masa ini. Kita perlu bersikap sebagai pasukan kerdil tetapi berpotensi besar. Parti UMNO bukan parti kecil tetapi mempunyai jutaan ahli. Hanya memerlukan perancangan masa depan yang strategik dan sistematik.
Semua pihak perlu positif untuk merampas kembali tampuk pentadbiran negara pada Pilihanraya Umum ke 15 itulah gawang sasaran kita bukannya gawang sendiri dalam masa kurang lima tahun ini. Tetapkan minda seperti Leicester City, bermain seperti biasa dengan kekuatan seimbang dari penjaga gol hingga penyerang. In Sha Allah lawan sekuat mana pun taktik dan politik mereka akan tumbang. Esprit De Corp atau semangat setiakawan bukan jadi lawan. Kita perlu kuat bukan sahaja sebagai pertahanan tetapi menyerang umpama tiada siang dan malam.
Sekapur Sireh Seulas Pinang,
Datuk Azhari Shaari
KETUA UMNO Bahagian Shah Alam.