Kesetiaan KIMMA Dihargai, Susah Dan Senang Bersama

SEREMBAN 27 Okt. – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan penghargaan atas kesetiaan parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang menunjukkan kesetiaan mereka.

Menurut beliau walaupun selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14), Kimma telah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada UMNO dan BN.

“Kita berkawan bukan saja semasa senang tetapi juga susah, Semangat ini yang harus ada pada kita.” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Kimma Ke-41 di Nilai dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut memberitahu penjenamaan semula BN akan turut mengambil kira kedudukan parti gabungan dan parti lain yang ingin menyertai parti berkenaan.

Sehubungan itu beliau tidak menolak kemungkinan terdapat perlembagaan BN perlu diubah bagi membolehkan penyertaan parti-parti berkenaan.

“Parti komponen akan berbincang bagi mempertimbangkan permohonan tiga parti iaitu Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Makkal Sakti dan Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) untuk menjadi parti komponen.

“Permintaan Kimma yang merupakan parti gabungan UMNO untuk menjadi parti komponen BN adalah sama dengan nada Makkal Sakti dan IPF. Kita akan bincangkn dengan parti komponen BN dan mengikut suara majoriti,” katanya.