Zahid Raikan Kepelbagaian Pendapat, Hargai Pandangan Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 26 Okt – Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) yang memberikan saranan kepada beliau semalam.

Katanya, beliau meraikan kepelbagaian pendapat namun keutamaan adalah terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan UMNO.

“Terima kasih di atas pandangan PPUM. Saya raikan kepelbagaian pendapat. Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menerusi catatannya di Twitter beliau hari ini. .

Semalam, PPUM yang diketuai oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menyarankan agar Ahmad Zahid mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada tugas sebagai Presiden parti sehinggalah selesai kes beliau selesai dibicarakan dan diputuskan di mahkamah.

Jelas Asyraf Wajdi, ini adalah bertujuan memberi peluang kepada Zahid untuk fokus kepada usaha membersihkan nama beliau di mahkamah dengan 45 pertuduhan yang dikenakan.

“Pemuda UMNO melahirkan rasa simpati dan amat dukacita dengan jumlah pertuduhan yang terpaksa di hadapi oleh Presiden UMNO dan kerana itulah kita mencadangkan agar beliau mempertimbangkan untuk bercuti.

“Rehat daripada menjalankan tugas sebagai Presiden bukan bermakna beliau dianggap bersalah. Pemuda juga tetpa berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip Islam (al-aslu bara’atu zimmah) dan prinsip perundangan (presumption of innocence).

“Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di kamar mahkamah dan bukannya dihukum di pentas media.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.