UMNO Sudah Tiada… Permainan Serangan Minda Tun M Lemahkan Ahli Parti

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan jelas ingin bermain dengan permainan minda di kalangan masyarakat Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khaidhirah Abu Zahar.

Katanya, ini sudah tentu bertujuan untuk melemahkan semangat orang Melayu yang pada beliau, dengan terang–terangan menyatakan orang Melayu itu pemalas.

“Serangan minda seperti ini sudah tentu amat mudah untuk beliau menarik minat masyarakat Melayu untuk meletakkan harapan yang besar kepada parti beliau, dan berpaling tadah dari terus menyokong semangat perjuangan UMNO.

“Setelah serangan besar-besaran yang beliau telah berjaya lakukan sehingga berjaya menumpaskan kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak mungkin beliau mampu juga untuk mengakui akan kesilapan yang mungkin kecil, tetapi terlalu banyak sehingga akan pastinya memberi kesan yang amat besar terhadap stabiliti negara ini.

“Kerajaan sedia ada masih lagi gagal membuktikan sepenuhnya yang mereka mampu memacu negara dengan baik.”

Jelasnya, UMNO yang mula membina Malaysia dari kosong, tiada punyai apa-apa, telah berjaya membina empayar yang begitu baik, membuat jalinan yang baik dengan negara–negara jiran, malahan Malaysia adalah antara negara Islam yang termaju di Asia Tenggara ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya menyambut kepimpinan negara ini bila masa semuanya sudah siap dirancang dan dibina, walau mungkin ada beberapa kesilapan, tetapi jika mahu dibandingkan ketika UMNO memulakan Malaysia ini, cabaran kerajaan PH hari ini tidaklah seberapa sangat besarnya.

“Jadi teruskanlah memimpin dengan baik, jangan hanya tahu menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu.

“UMNO ini akan tetap meneruskan perjuangan kami iaitu membina dan menjaga kepentingan hak kaum peribumi tanpa menindas hak mana-mana bangsa lain, serta memperjuangkan agama Islam dan menjaga adab dan etika keislaman mengikut garis panduan termaktub di dalam Al-Quran.”

Ujarnya, biarkanlah UMNO ini menjalankan tugas parti politiknya seperti mana UMNO tidak menganggu parti politik sebelum ini menjalankan tugas mereka sebagai pembangkang ketika itu.

“Janganlah diganggu sehingga sanggup bermain dengan permainan minda yang jelas membuktikan kredibiliti yang amat rapuh parti anda sendiri.

“Jika benar parti Bersatu adalah parti yang mahu menjaga kepentingan bangsa melayu dan agama Islam seperti yang dicanang-canangkan, parti yang mampu menggantikan UMNO, maka buktikan dengan segera kerana parti anda adalah sebahagian dari kerajaan hari ini.

“Maka wujudkanlah polisi, garis panduan dan terus mempertahankan hak peribumi, menjadi benteng paling teguh untuk mempertahankan agama Islam seperti mana UMNO telah lakukan selama ini.”

Katanya, kepada rakyat yang mungkin telah hilang keyakinan terhadap UMNO hari ini, sebagai salah seorang pemimpin muda yang berada dalam sistem UMNO hari ini, UMNO ingin bermohon maaf atas kekhilafan yang telah UMNO lakukan sebelum ini.

“Apa yang pasti, UMNO tidak pernah lari dari terus memperjuangkan matlamat dan prinsip sebenar UMNO iaitu untuk terus menjaga dan memperkasakan bangsa Melayu dan agama Islam sebagai agama paling indah di negara ini, tanpa memperlekehkan keperluan menjaga bangsa dan menghormati agama lain di negara ini.

“Kepada semua rakyat yang telah meletakkan kepercayaan kepada UMNO selama ini, teruskanlah bersama UMNO sehingga kita lihat bahawa ada yang lain mampu menjaga bangsa dan agama dengan betul.

“Itu pun jika ada, jika tiada, maka teruskanlah bersama UMNO ini. UMNO yang baharu ini akan pasti menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.”

Tegas beliau, UMNO hari ini pastinya sudah belajar dari kesilapan yang lepas, UMNO akan datang sudah tentu akan menjadi lebih baik dari sebelum ini.

“Ya, saya yakin, UMNO adalah parti politik Melayu yang baik dan akan terus menjadi yang terbaik untuk semua masyarakat di Malaysia ini,” ujar beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.