UMNO Sebuah Perjuangan… Puteri Minta Ahli Bertenang, Solidariti Untuk Parti


KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ketua Kergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan memohon agar ahli-ahli UMNO umumnya dan ahli Puteri khasnya untuk bertenang dan terus mendoakan kebaikan para pemimpin dan parti yang disayangi ini.

“Sama-sama kita teruskan rapatkan saf, berjuang dengan penuh keikhlasan dalam usaha kembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini. UMNO Sebuah perjuangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini yang mengulas tentang pendirian berkenaan kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Puteri UMNO sudah pun punya pendirian tersendiri dalam isu berkenaan kedudukan Presiden sebelum ia menjadi topik hangat di media lagi.

“Puteri mengutamakan kematangan bertindak dan akan sentiasa berbincang secara keluarga bersama Jawatankuasa Pengurusan, Biro Politik dan Majlis Tertinggi yang mana Puteri adalah anggotanya.

“Puteri memahami cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Pembangkang, jadi kami percaya Presiden UMNO mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan pendiriannya

“Puteri juga berpendapat proses undang-udang yang sedang berjalan adalah peluang terbaik untuk Presiden UMNO membersihkan nama beliau.”

Katanya, Presiden mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan yang sebaik mungkin berdasarkan prinsip ‘tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah’ dan tidak sepatutnya kita bersikap ‘prejudis’ dengan membuat perbicaraan di media.

“Seperti semua maklum parti kita sedang ditekan kuat oleh pihak kerajaan, seorang demi seorang pemimpin kita didakwa, kemungkinan ramai lagi akan dikenakan tindakan bermotifkan politik dan pendakwaan terpilih yang mereka amalkan.”

Tegasnya, Puteri juga akan terus bersolidariti, mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Presiden parti disaat kita diuji sekarang ini.

“Puteri terus memberi sokongan kepada Presiden parti untuk mempertahan dan melindungi parti dari terjerumus ke jurang yang lebih berbahaya demi masa depan agama, orang Melayu dan negara tercinta.

“Kami umpama anak yang tidak tergamak untuk ‘menghentak’ dan menambah beban emosi kepada ‘ayah’ yang sedang berhadapan masalah ketika menguruskan ‘keluarga besar UMNO’ ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.