Sikap Pemimpin PH Masih Tak Berubah Walaupun Sudah Jadi Anggota Kerajaan


KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilihat masih ada yang tidak berubah sikap walaupun telah menjadi anggota kerajaan.

“Sebagai pembangkang kita cuba menjadi pembangkang yang baik, pembangkang yang konstruktif, pembangkang yang menegur perkara-perkara yang tidak baik untuk rakyat.

“Tetapi apabila ada pemimpin mereka seperti Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Hanipa Maidin menjawab seolah-olah jawapan itu sengaja menaikkan rasa tidak puas hati atau marah sesama kita… tidak setujulah dengan cara berkenaan.

“Kita mestilah duduk secara sopan dan ada adab serta ikut peraturan. Sebab itu bila ada soalan timbalan menteri mestilah jawab secara berhemah. Saya puji Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali jawab secara berhemah dan kita mendapat penjelasan yang baik serta kita boleh menerima penjelasan itu walaupun berbeza parti,” katanya kepada UMNO-Online, berhubung dengan persidangan di Dewan Rakyat semalam.

Kata beliau sebagai anggota kerajaan mestilah menjaga nama baik kerajaan dan memberikan jawapan yang baik kepada persoalan yang ditimbulkan.

“Saya nampak beberapa menteri dan timbalan yang dahulunya semasa saya jadi timbalan speaker sampai sekarang pun mereka tidak mengikut peraturan dan mereka tidak sedar mereka adalah anggota kerajaan. Sepatutnya apabila menjadi anggota kerajaan mestilah menjaga nama baik kerajaan,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, suasana di dalam Dewan semalam telah mencetuskan pertikaman lidah antara kerajaan dan pembangkang apabila Hanipa menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung pendaftaran automatik sebagai pengundi.

Menurut Hanipa, pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan dilakukan, namun masalah yang dihadapi kerajaan PH adalah mereka tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Kita tak boleh ambil risiko sebab takut nanti bila (pembangkang) kata sokong, tiba-tiba tak sokong. Sebab menjadi pembangkang, kerja nak malukan kerajaan sahaja,” katanya Hanipa.

Tindakan berkenaan menyebabkan beberapa orang ahli Parlimen BN bangkit antaranya ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said sehingga berlaku pertikaman lidah dan kemudiannya ditenteramkan oleh Timbalan Speaker. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.