Bertenang Dan Terus Istiqamah Bersama Parti – Ketua Wanita UMNO
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Semua ahli UMNO diminta agar bertenang dan terus istiqamah bersama parti dalam perjuangan memenangi semula keyakinan rakyat, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Pada masa yang sama, katanya, semua ahli juga mesti berfikiran positif dan bersikap rasional dalam apa juga keadaan.
“Ini termasuklah dalam isu memberi layanan adil sejajar dengan prinsip ‘innocent until proven guilty’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Janganlah ahli-ahli UMNO bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Ujarnya, Wanita UMNO berharap apa yang berlaku tidak mematahkan semangat perjuangan ahli-ahli parti.
“Jangan sampai fokus dan tumpuan kita ke arah memulih dan memperkasakan semula parti keramat ini terjejas dan teralih susulan penangkapan dan pendakwaan ke atas Presiden parti.”
Sehubungan itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, semua pihak harus menunjukkan solidariti di saat UMNO dan pemimpinnya sedang diuji. – MediaUMNO