Berehat Atau Berundur, Bukan Satu Pilihan Buat Saya – Zahid

KUALA TERENGGANU, 26 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, berehat atau bersara bukanlah pilihan buat dirinya dalam situasi politik parti hari ini.

Tegasnya, beliau telah diberikan mandat oleh para perwakilan dan hanya perwakilan sahaja yang boleh menentukan sama ada beliau akan berehat atau pun tidak.

“Apabila saya menawarkan diri sebagai presiden parti, saya sudah memperkirakan cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi.

“Saya pun tahu, bahawa pendakwaan terpilih seperti yang saya hadapi sekarang akan berlaku di bawah pentadbiran kerajaan baru hari ini.

“Dan apabila keadaan ini berlaku dan ada cadangan untuk saya mengambil cuti, dalam erti kata lain untuk berundur, saya tidak menganggap ianya sebagai satu pilihan. Mengalah bukan satu pilihan buat saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di hadapan pemberita dalam sidang media ketika mengulas tindakan Pemuda UMNO yang mencadangkan beliau untuk berehat daripada memikul tanggngjawab presiden selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan dan jentera UMNO negeri Terengganu.

“Sepatutnya perkara itu dibawa kepada makluman saya ataupun timbalan presiden atau setiausaha agung, tetapi mereka memilih untuk berbicara melalui media.

“Dan tentunya mereka ini mempunyai sebab yang tersendiri untuk melakukan perkara yang sedemkian,” ujarnya.

Walaupun Zahid agak terkilan dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu, namun beliau menegaskan pandangan daripada PPUM itu tetap diterima dengan hati yang terbuka.

“Saya menyeru agar pemuda sama-sama bangkit untuk melawan musuh politik dan menyelamatkan parti yang sedang diancam dengan pelbagai perkara termasuklah ancaman untuk membubarkan UMNO,” katanya.

Justeru, beliau mengambil keputusan untuk tidak berehat atau berundur, sebaliknya akan terus menggalas jawatan yang telah diamanahkan oleh perwakilan dalam pemilihan parti.

“Saya mengambil keputusan untuk terus menggalas tugas sebagai presiden UMNO, bersamw Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan kepimpinan sayap-sayap.

“Saya harap, keadilan di dalam membuat hala tuju politik kami dapat diterjemahkan dalam bentuk kesatupaduan di dalam parti kita.

“Dan mandat yang akan saya laksanakan biarlah sehingga tamat penggal pemilihan, kerana pemilihan jawatan-jawatan di dalam parti ditentukan oleh Perhimpunan Agung.

“Biarlah perhimpunan agung UMNO yang menentukan jawatan seseorang di dalam parti, dan bukannya disebabkan oleh cadangan atau lain-lain pandangan yang tidak mengikut perlembagaan parti,” tegasnya.

Zahid dan kepimpinan tertinggi UMNO sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup dengan lebih 1000 perwakilan pimpinan UMNO Negeri Terengganu.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.