Pendakwaan Berpilih: Cipta Plot Politik Dendam Untuk Sekat Kemaraan UMNO


IPOH, 25 Okt – Plot-plot politik dendam terus digerakkan untuk menyekat kemaraan UMNO sebagai blok pembangkang yang kuat dan konstruktif, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Ini berikutan selepas UMNO cuba dikuburkan melalui ‘pendakwaan berpilih’ dengan mengheret pemimpin-pemimpinnya ke mahkamah, katanya.

“Plot-plot ini terus disusun setelah usaha membawa keluar segelintir wakil rakyat UMNO gagal mewujudkan gerakan besar-besaran meninggalkan UMNO di peringkat akar umbi.

“Justeru, tidaklah menghairankan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya turut meminta ahli UMNO keluar beramai-ramai menyertai parti beliau,” ujarnya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir kononnya UMNO sudah mati, yang jelas sekadar satu lagi cubaan untuk menanam persepsi bahawa UMNO sudah tidak lagi relevan.

Tambah Saarani sedangkan hakikatnya, walaupun kekalahan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) memberi tamparan hebat kepada UMNO namun ia tidak melunturkan semangat juang majoriti pendukung-pendukungnya.

“Sebagai sebuah parti politik terbesar dan mempunyai bilangan ahli paling ramai, UMNO masih memikul amanah besar dalam menyuburkan nilai-nilai politik yang membina.

“Kepada seluruh ahli UMNO, jangan membiarkan kenyataan orang di luar UMNO membuatkan kita hilang fokus dalam melaksanakan proses pemulihan parti yang sedang berjalan di semua peringkat.

“Walaupun wujud tekanan demi tekanan untuk menghambat perjuangan UMNO kebelakangan ini, saf kepimpinan dan ahli UMNO perlu kekal fokus membina semula parti supaya bangkit lebih kuat memenangi pilihan raya umum akan datang,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.