“Orang Dia Seorang Demi Seorang Dilepaskan, Kita Seorang Demi Seorang Diheret” – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak adil sedangkan pendakwaan terhadap beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH), digugurkan sebaik mereka menjadi kerajaan.
Menurut beliau, seorang demi seorang pemimpin UMNO dihadapkan ke mahkamah, dan seorang demi seorang juga pemimpin PH, malah ada yang kes sudah berjalan di mahkamah dilepaskan.
“Orang-orang dia seorang demi seorang dilepaskan, orang-orang kita seorang demi seorang diheret ke mahkamah. Adakah itu adil? Kalau inilah nasib yang menimpa kepimpinan UMNO, kita akan terus bangkit dan berjuang bersama-sama.
“Kalau Datuk Zahid tumbang, kita ada ramai lagi di belakang beliau yang akan terus berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair,” tegasnya.
Beliau seterusnya menyeru kepada semua ahli UMNO agar terus berjuang menghadapi kerajaan yang zalim dan yang berselindung di sebalik prinsip ‘Rule of Law’ untuk menekan musuh politik mereka.
“Jika hanya ada tinggal satu saja panji-panji UMNO di muka bumi ini, maka kitalah merupakan benteng terakhir untuk memegang panji-panji itu. Kita akan terus berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair.
“Saya yakin kerajaan ini akan ditumbangkan oleh rakyat kerana sudah jelas segala kepincangan dan kezaliman yang berlaku sejak mereka memperolehi mandat mentadbir negara,” tegasnya lagi.-MediaUMNO