Hutang Negara…. Pembentangan Laporan RMK-11 Perjelaskan Segala-Galanya

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata beberapa hari lalu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 bagi tempoh 2016-2020 dan jelas hutang negara berjumlah hanya RM686 bilion sahaja.

Menurut beliau jika sentimen hutang RM1 trilion terus dimainkan oleh pihak PH nasib negara ini di sudut ekonomi amat malang sekali dan pelabur asing sudah pasti tidak mahu meletakkan duit mereka di dalam pentadbiran kewangan negara yang tidak cekap menguruskan ekonomi.

“Kejatuhan nilai ringgit berbanding USD semakin menakutkan jika sentimen hutang RM1 trilion tidak terus menjadi sebutan pemimpin-pemimpin kanan negara.  Kasihanilah rakyat yang menerima impak dibuang kerja dan perlu bersaing dengan pekerja asing untuk mendapat pekerjaan.

“Lebih menyedihkan kebanyakan yang mengundi PH termakan dengan sentimen negara akan bankrap jika Barisan Nasional (BN) terus mengemudi negara, sedangkan selama ini Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak telah meletakkan negara di landasan yang baik menjelang 2020,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Namun katanya lagi bahana fitnah dan kempen persepsi hutang negara yang banyak disebabkan ketirisan melalui kes yang sedang dibicarakan maka segala aktiviti ekonomi yang dilakukan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) jadi berantakan.

“Benarlah kata pepatah, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Nasi sudah menjadi bubur. BN yang ditunjangi UMNO ditinggalkan oleh ahli-ahlinya sendiri kerana fitnah negara bakal bankrap.

“Kepada rakyat Malaysia, bukalah mata. Jangan ada sindrom penafian di hati. Kembalikan mandat kepada BN dan UMNO pada Pilihan Raya Umum akan datang. Sesungguhnya UMNO dan BN tetap terbaik dan 61 tahun telah menjadi saksi jasa dan bakti dicurahkan untuk rakyat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.