Hentikan Mainan Politik Dendam, Jujurlah Pada Rakyat Malaysia – Najib

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Esok sekali lagi Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan didakwa oleh SPRM.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa keadaan ini tidak pernah berlaku dimana-mana negara yang kerajaannya terlalu pendendam.

“Saya tahu saya akan dapat menghadapi pendakwaan ini di mahkamah dengan mudah namun pada masa ini saya ingin bertanya akan kejujuran kerajaan PH untuk melihat pada gambaran lebih besar untuk menyelesaikan isu 1MDB.

“… dan hentikan mainan politik mereka, jujur dengan semua rakyat Malaysia serta memastikan ekonomi Malaysia dan rakyatnya menjadi keutamaan dan bukan berterusan menjadikan lawan politik mereka sebagai keutamaan, siang dan malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, beliau menerima hakikat telah didakwa berkaitan 1MDB dan ia adalah kuasa kerajaan untuk mendakwa mengikut kehendak mereka.

“Saya telah didakwa menerima RM2 bilion. Saya juga telah didakwa kerana memulangkan wang RM2 bilion dan saya juga telah didakwa kerana memindahkan wang dari akaun saya kepada satu lagi akaun saya.

“Pada masa yang sama, walaupun saya didakwa secara rasmi kerana wang RM2 bilion telah dikembalikan, terdapat juga banyak lagi dakwaan yang saya telah membayar beratus pihak lagi dengan RM2 bilion yang sama ini. Mana lojiknya?” soal beliau.

Najib memaklumkan bahawa beliau juga telah mendedahkan dokumen bank yang membuktikan beratus juga ringgit telah dibayar kepada akaun saya terus dari akaun bank Menteri Kewangan Arab Saudi sebagai derma.

“Mengapa faktor ini tidak diambil kira dan beratus pihak masih menerima tekanan dari pihak berkuasa mengenai bayaran dari akaun saya?

“Setiap sen 1MDB ialah dari pinjaman. Memang tidak masuk akal yang niat saya ialah untuk mencuri wang yang dipinjam dan letaknya di dalam akaun atas nama saya sendiri kerana wang yang dipinjam akhirnya perlu dibayar balik,” katanya lagi – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.