Wanita UMNO Desak P.Pinang Nilai Semula Projek Bawah PTMP


GEORGE TOWN, 21 Okt – Wanita UMNO mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang menilai semula dan menangguhkan projek mega yang dirancang bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP ) susulan kejadian tanah runtuh terbaharu di negeri itu.

Naib Ketuanya Datuk Norliza Abd Rahim berkata projek yang dirancang bawah PTMP melibatkan kawasan berisiko selain boleh menjejaskan alam sekitar menerusi penerokaan hutan dan tambakan laut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Kami rasa terkejut dan sedih dengan tragedi terbaharu kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa pekerja asing di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong pada Jumaat lalu. Lebih menyedihkan, kejadian itu berlaku hampir setahun selepas bencana serupa di tapak projek pembinaan Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa pada 21 Okt tahun lalu.” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

PTMP yang dianggar bernilai RM46 bilion adalah inisiatif kerajaan negeri melibatkan pembinaan terowong dasar laut yang menghubungkan bahagian tengah pulau dan tanah besar serta lebuh raya dan sistem transit aliran ringan, monorel dan rangkaian bas yang luas dengan dananya bergantung pada pembangunan hartanah di atas tiga pulau buatan manusia dikenali sebagai Skim Penambakan Semula Pulau Pinang Selatan.

Norliza juga menyuarakan kebimbangan berhubung kemampuan dan kecekapan kerajaan negeri dalam mengendalikan projek berisiko memandangkan kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus itu adalah bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Beliau juga mahu kerajaan negeri bertanggungjawab atas mangsa sekalipun mereka adalah warga asing.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor berlaku di tapak projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus pada Jumaat lepas itu sehingga kini telah menyebabkan enam pekerja asing maut, tiga cedera manakala empat lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Insiden itu merupakan kejadian kedua berlaku di negeri ini selepas tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Okt tahun lepas yang meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang warga Pakistan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.