Zahid Tidak Perlu Letak Jawatan Atau Berehat – UMNO Perak

IPOH, 20 Okt – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyifatkan semua pertuduhan yang dikenakan ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah bertujuan untuk memalukan beliau, keluarganya dan juga ahli-ahli UMNO.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad menegaskan UMNO Perak berpegang kepada prinsip di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga mahkamah memutuskan seseorang itu bersalah.

“Setelah meneliti 45 pertuduhan yang dikenakan ke atas YB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, UMNO Perak menyifatkan semua pertuduhan tersebut adalah bertujuan untuk memalukan Presiden UMNO, keluarga dan juga ahli-ahli UMNO.

“Kami, UMNO Perak berpegang teguh kepada prinsip ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga Mahkamah memutuskannya bersalah,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO Perak berpendapat YB Dato’ Seri Ahmad Zahid tidak perlu meletakkan jawatan atau berehat daripada memegang jawatan Presiden.

“Ini kerana tindakan itu akan memberi kemenangan moral kepada pihak berkuasa yang sememangnya merancang untuk melemahkan UMNO dengan cara memberi tekanan melalui ‘pendakwaan berpilih’ ke atas pemimpin-pemimpin kanannya.

“Kita tidak tahu siapa pula selepas ini, pemimpin kanan UMNO yang akan menjadi mangsa kerakusan pihak berkuasa dengan membuat ‘pendakwaan berpilih’ seterusnya.

“Jika setiap yang didakwa di mahkamah perlu
meletakkan jawatan, siapakah lagi yang akan tinggal untuk memimpin parti?,” soalnya.

Justeru, beliau berkata bahawa UMNO Perak ingin menegaskan sekali lagi bahawa semua ahli parti di setiap peringkat hendaklah terus memberi sokongan padu kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO Malaysia.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.