UMNO Sabah Lahir Sokongan Penuh, Zahid Tidak Perlu Bercuti Atau Berundur

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu bercuti atau berundur kerana beliau belum dibicara dan belum ditentukan bersalah.

Justeru jelas beliau, semua pihak harus menunjukkan solidariti dan perpaduan di saat dan waktu UMNO sedang ditekan sebegini rupa.

“UMNO Sabah sendiri melahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Zahid sebagai Presiden parti.

“UMNO Sabah akan terus bersama di kala Presiden kita sedang menghadapi tekanan dan pendakwaan yang bermotifkan politik,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid Hamidi semalam didakwa dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah yang direkod daripada beliau di atas ke semua pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh di hadapan hakim Azura Alwi.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diikat jamin sebanyak RM2 juta bagi kesemua 45 pertuduhan termasuk menyerahkan passpot kepada mahkamah sehingga selesai kes ini dibicarakan. Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Disember ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.