Tok Mat Mangsa ‘Spin’ Adu Domba Berita Malaysiakini

Assalamualaikum sahabat2,

Semalam portal Malaysiakini melaporkan berita bertajuk ‘Zahid mungkin perlu bercuti’ kononnya memetik temubual wartawannya dengan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hassan (Tok Mat).

Pagi ini secara peribadi Tok Mat menghubungi saya menceritakan situasi sebenar percakapannya dengan wartawan Malaysiakini semasa beliau hadir memberi sokongan kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Pertamanya saya selaku bekas wartawan nak memberitahu bahawa sejak sekian lama saya tidak percaya sepenuhnya setiap laporan Malaysiakini yang dilihat lebih cenderung memutarbelitkan kenyataan individu yang ditemubual.

Apatah lagi dengan rencana-rencana kolumnisnya yang gemar mensensasikan isu, suka mengadu-domba dan dijadikan alat pihak tertentu untuk menghancurkan perpaduan UMNO.

Tok Mat adalah mangsa terbaru Malaysiakini. Ketika menjawab soalan wartawan portal itu semalam, Tok Mat tidak sama sekali menyebut bahawa DS Zahid mungkin perlu bercuti sebagaimana intro berita yang disiarkan.

Apa yang dinyatakan secara umum oleh Tok Mat adalah SOP parti pada 2009 yang memerlukan pemimpin UMNO bercuti jika berdepan tuduhan di mahkamah.

SOP pada 2009 itu dibuat oleh UMNO sebagai langkah untuk menjaga integriti parti itu dan BN yang sedang memerintah ketika itu. Pendakwaan juga dibuat oleh pihak kerajaan.

Selepas PRU14 lalu kerajaan sudah bertukar tangan. UMNO kini bukan lagi pemerintah. Pemimpin UMNO kini berdepan dengan pelbagai tuduhan dan pendakwaan daripada kerajaan baru. Rata-ratanya pendakwaan bermotif politik terhadap pemimpinnya dengan tujuan mahu menghancurkan sama sekali UMNO.

Kesian Tok Mat yang menjadi mangsa manipulasi dasar kebebasan akhbar yang dahulu diperkenalkan oleh Kerajaan BN selepas era Mahathir.

Malaysiakini menggunakan sepenuhnya dasar terbuka BN itu, bukan sahaja untuk menjatuhkan UMNO ketika parti itu berkuasa, malah selepas BN jatuh tersungkur.

Adu domba untuk memecahbelahkan perpaduan UMNO kini menjadi agenda utama Malaysiakini, portal yang tidak berintegriti dan bercanggah dengan etika kewartawanan itu.

Wartawan selaku pelapor yang berintegriti sepatutnya meletakkan kenyataan Tok Mat mahu membawa isu ini ke mesyuarat pengurusan dan memutuskannya di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebagai intro beritanya.

Sebaliknya disebabkan sikap tidak berintegriti, wartawan berkenaan meletakkan intro yang tidak disebut pun oleh Tok Mat dalam temubual itu.

Saya tidak mempersalahkan jika ada pemimpin UMNO sendiri terkeliru dengan manipulasi berita oleh Malaysiakini.

QItu sudah menjadi hakikat yang sejak sekian lama terpaksa ditelan oleh UMNO, termasuk oleh mereka yang kini tidak lagi berjuang bersama parti keramat ini.

Semoga para pemimpin UMNO terus istiqamah mempertahankan institusi kepresidenan parti daripada perbuatan zalim Kerajaan PH yang sedang ghairah membuat pendakwaan politik seperti dihadapi DS Zahid ketika ini.

Bercuti bukan pilihan terbaik bagi seorang Presiden yang telah dipilih oleh akar umbi parti.

Apatah lagi ketika UMNO berada di blok pembangkang, yang nyawanya masih bugar berbanding sebuah parti kerajaan yang hanya menguasai 13 kerusi dalam PRU lalu.

Apapun, sama-sama kita tunggu keputusan yang bakal dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO kerana itulah hairaki tertinggi dalam perlembagaan parti dalam membuat sebarang tindakan.

Semoga para pemimpin dan ahli UMNO terus bersatu mendepani dugaan yang mencabar ini.

Salam hormat
Mohd Khusairi Abdul Talib
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.