Proses Perundangan Perlu Adil, Telus Dan Tanpa Prejudis – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 19 Okt – Pemuda UMNO Malaysia amat terkesan dengan pendakwaan terpilih yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ke atas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, Ahmad Zahid berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip Islam (al-aslu bara’atu zimmah) dan prinsip perundangan (presumption of innocence).

“Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di kamar mahkamah dan bukannya dihukum di pentas media.

“Pemuda UMNO menegaskan bahawa beliau harus diberikan hak dan peluang untuk membela diri dan mendapatkan keadilan sepenuhnya,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Pagi tadi, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri telah didakwa dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan yayasan miliknya sendiri, Yayasan Akalbudi berjumlah RM114 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Pemuda UMNO juga menyeru kepada seluruh warga pendokong dan pejuang parti agar kekal bersatu dan bersetia kepada parti kita UMNO.

“Usah membuat sebarang spekulasi dan andaian yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” ujarnya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.