Pendakwaan Terhadap Presiden UMNO : Tindakan Sengaja Untuk Runtuhkan Parti, Semangat Ahli – KJ

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mungkin sengaja diadakan untuk meruntuhkan parti dan semangat ahli-ahli UMNO.

Khairy seterusnya menyeru ahli-ahli UMNO, agar bersama-sama terus memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan dan parti.

“Saya minta agar ahli-ahli UMNO terus istiqamah untuk memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan dan parti UMNO. Ini supaya tidak ada sesiapa yang boleh meruntuhkan perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Kita mesti buktikan kepada mereka bahawa kita adalah parti yang kuat dan berwibawa. Tidak ada usaha yang boleh mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dalam menempuh cabaran hari ini dan mendatang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ahli-ahli UMNO yang berhimpun di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Kata Khairy lagi, UMNO selepas ini akan kembali bangkit untuk memperlihatkan bahawa UMNO masih lagi relevan di kalangan rakyat dalam membawa perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Terima kasih kepada semua ahli yang hadir. Kita jangan patah semangat kerana di luar sana masih ramai lagi rakyat yang bersama kita. Kalau ada dengar ura-ura ahli parlimen UMNO tidak lagi setia, saya dan pemimpin lain hadir hari ini bahawa kami tetap setia dengan perjuangan ini.

“Tetapi kekuatan dan kesetiaan kami bersandarkan kepada kekuatan akar umbi. Hari ini saya lihat begitu ramai yang datang daripada jauh dan ini memberikan semangat kepada kami untuk terus melawan dan bangkit semula,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.