Ada Usaha Untuk Hancurkan UMNO, Ahli Parti Mesti Terus Bersatu – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 19 Okt – Seluruh pimpinan, ahli UMNO serta penyokong parti keramat UMNO di semua peringkat diminta bersama dan bersatu hati dalam menghadapi cabaran di waktu ini, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Katanya, ketika ini parti dan pimpinan UMNO terutama Presiden UMNO sedang menghadapi ujian yang sangat mencabar.
“Kita yakin hanya dengan perpaduan sesama kita sahaja mampu menghadapi apa juga dugaan yang mendatang.
“Justeru, marilah kita bersama mempertahankan UMNO dan pimpinannya,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong dalam kenyataan media hari ini.
Ujarnya, usahlah kita terperangkap dengan permainan pihak yang sentiasa mengambil kesempatan untuk terus menghancurkan UMNO ketika ini.
“Apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah bertujuan melemah dan melunturkan semangat ahli UMNO. Apabila lemah, kita akan berpecah atau dipecah-pecahkan.
“Kita mesti terus kuat dan bersatu agar UMNO bangkit semula,” tegasnya lagi. – MediaUMNO